For my baby ~ Ferris Mokhtar van de Ven

For my baby ~ Ferris Mokhtar van de Ven;
..for all my love, my heart and soul..all belong to you! This is how ummie love you - higher than a mountain, wider than an ocean ~

Sunday, November 22, 2009

Kosmo Nov 22, 2009


RENCANA UTAMA

Elis rindu tak tertahan


Elis Syuhaila Mokhtar


SEJAK usia 16 tahun, Elis Syuhaila Mokhtar mengenali Frank Theodorus Van de Ven, seorang rakyat Belanda yang lima tahun lebih tua daripadanya. Hubungan mereka yang bermula sebagai sahabat pena berakhir dengan cinta penuh gelora.

Dengan restu daripada kedua-dua belah keluarga, Elis, kini 34, dan Frank, 39, mengambil keputusan untuk berkahwin pada tahun 2001. Elis yang pada waktu itu mengajar di Universiti Limkokwing dengan rela hati melepaskan jawatan dan mengikut suaminya berpindah ke Belgium.

Kehidupan mereka bahagia di sana. Frank atau nama Islamnya Firdaus Mokhtar, bertugas sebagai jurutera perisian di sebuah syarikat antarabangsa manakala Elis menjadi suri rumah sepenuh masa.

Walaupun sibuk, Frank tidak lupa tanggungjawabnya kepada Elis malah isterinya dilimpahi kemewahan sementelah kerjayanya itu mampu menjana pendapatan jutaan ringgit.

Namun, kehidupan mereka mula berubah selepas kelahiran Ferris Mokhtar Van de Ven pada tahun 2004. Kehadirannya tidak disenangi ibu mertua Elis yang didakwa tidak mempercayai institusi kekeluargaan.

"Bagi mereka, anak itu hanya satu beban. Tetapi saya tetap mahukan anak itu dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang. Frank kurang peduli, jadi saya seorang saja yang menjaga Ferris.

"Saya tidak melayan Ferris sebagai anak, sebaliknya sebagai seorang sahabat. Seharian dengannya, banyak perkara yang kami lakukan bersama.

"Untuk tidak melupakan terus asal-usulnya, saya mengajar Ferris berbahasa Inggeris dan Belanda. Saya juga ajar dia ucap salam dan beberapa doa ringkas.

"Apabila Ferris berumur dua tahun, dia sudah petah bertutur dalam bahasa Belanda dan Inggeris. Memandangkan hanya dia seorang anak saya, dia sangat manja dan pandai menghiburkan. Mertua mula tertarik kepadanya dan itu jugalah permulaan pada masalah yang saya hadapi sekarang," ujar Elis ketika ditemui Jurnal.

Ibu mertua

Menurut bekas pensyarah Falsafah Seni ini, ibu mertuanya mengaku menyayangi Ferris namun tidak suka cucunya itu mengungkapkan kalimah-kalimah suci.

"Ibu mertua pernah beritahu, dia cemburukan kemesraan saya dan Ferris. Sering berdepan tekanan akibat ketagihan arak, katanya hanya Ferris seorang yang dapat memberinya ketenangan.

"Saya tidak menyekat kalau ibu dan bapa mertua menyayangi Ferris, malah saya gembira kerana mereka sudah boleh menerima anak saya.

"Tetapi apa yang saya terkilan, mereka mahu Ferris tidak diracuni dengan ajaran Islam sehinggakan anak saya sering dijamu dengan hidangan daging babi dan makanan yang bercampur arak jika kami berkunjung ke rumahnya.

"Apabila saya menegaskan Ferris adalah Muslim dan dia tidak boleh makan itu dan ini, mereka mula menekan saya. Malah ibu mertua sanggup mencederakan dirinya sendiri semata-mata mahukan Ferris sentiasa ada bersamanya dan menjalani kehidupan tanpa akidah sepertinya.

"Sejak itu saya sering bergaduh dengan suami kerana dia memihak kepada keluarganya. Saya tiada pilihan lain. Saya mahu berjumpa dengan kakak di Manila, Frank akur dan membelikan tiket untuk kami berdua," katanya.

Semasa Elis berada di Manila pada November 2007, tanpa pengetahuannya Frank telah memfailkan cerai dan hak penjagaan Ferris di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Dia juga telah membuat laporan Elis melarikan anak mereka ke Manila.


SI COMEL ini dipercayai sedang berada di Belanda.


"Saya di Manila tak tahu apa-apa. Ada saya terima beberapa panggilan daripada peguam Frank yang mengatakan semua permohonan suami di mahkamah diluluskan dan saya perlu menyerahkan Ferris ke bawah jagaannya.

Keluar waktu malam

"Masa itu hanya Allah yang tahu macam mana takutnya hati saya. Sebelum itu saya pernah diugut macam-macam, termasuklah ugutan bunuh dan tidak berpeluang bertemu dengan Ferris lagi.

"Tidak pernah terbayang Frank akan jadi sekejam itu. Jadi, apabila saya diarah menyerahkan Ferris kepada Frank pada Mac 2008, saya nekad meninggalkan rumah bersama Ferris," jelas Elis.

Ragu-ragu dengan keselamatannya, Elis membawa anaknya tinggal di rumah saudara di Sungai Buloh, Selangor. Lebih kurang setahun mereka tinggal di situ tanpa sebarang gangguan daripada Frank.

"Saya sangat takut kalau Frank datang dan ambil Ferris daripada saya. Kami langsung tak keluar rumah pada waktu siang. Kalau hendak beli barang atau bawa Ferris berjalan, saya akan bawanya ke Seremban atau Melaka.

"Dalam masa setahun itu, macam-macam yang Frank buat. Dia sangat marah apabila saya bawa Ferris pergi. Dia ugut untuk bunuh keluarga saya dan buat saya kecewa. Dia juga sebarkan notis ke merata tempat mengatakan saya seorang ibu yang gila dan macam-macam lagi.

"Selepas setahun tinggal seperti pelarian, saya terbuka hati untuk bertemu dengan Frank bagi menyelesaikan masalah kami. Jauh di sudut hati, saya masih menyayanginya dan saya juga tahu Ferris perlukan seorang ayah," tutur Elis.

Tanpa diduga, dia diserang semasa mahu berjumpa Frank di sebuah hotel. Apa yang lebih mengecewakan Elis, suaminya sendiri yang menyembur matanya dengan serbuk lada. Mujur pada ketika itu anak saya sempat diselamatkan oleh anak-anak saudara saya.

Akidah

"Selepas itu kami masing-masing buat report tetapi kes digugurkan. Tidak lama selepas itu kami mendapat perintah mahkamah untuk menjaga Ferris secara bergilir.

"Frank menghantar Ferris pulang apabila tiba giliran saya namun ia hanya untuk beberapa kali. Pada minggu kelima, sekitar Mac 2009, Frank menjemput Ferris dan itu merupakan kali terakhir saya bertemu dengan anak saya.

"Frank mula tidak menjawab panggilan daripada saya dan apabila giliran Ferris bersama saya, Frank tidak menghantarnya. Suami bawa anak saya pergi. E-mel, panggilan dan pesanan langsung tidak dibalas. Saya betul-betul tertekan dengan keadaan itu.

"Saya cuba berdamai dengan Frank tapi tidak berhasil. Sampai sekarang saya tidak tahu di mana suami dan anak saya. Saya ada terima e-mel daripada mertua tetapi selepas beberapa bulan baru saya mendapat berita daripada Frank," cerita Elis.

Kerinduannya kepada Ferris tidak pernah terubat. Setiap malam, tidur Elis bertemankan baju terakhir yang dipakai anaknya. Rayuan demi rayuan untuk bertemu anaknya tidak pernah dilayan oleh Frank. Sebaliknya Frank memberitahu Ferris kini bahagia tinggal bersamanya dan tidak mahu lagi pulang ke Malaysia untuk bertemu ibunya.

Selepas apa yang terjadi dan terpisah dengan si anak selama sembilan bulan, Elis tidak patah semangat.

"Walaupun hidup saya tak semewah dulu dan hanya menjual kuih koci untuk menyara hidup, saya takkan berhenti berusaha untuk dapatkan Ferris dan menyelamatkan akidahnya. Saya tahu dia sangat rindukan saya dan mahu kembali ke sini," rintih Elis.

Copyright © 2008. KOSMO! Online.

1 comment:

  1. sorry to say kak..

    kejam nya frank..tgamak dia..sy fkr..ur MIL ke yang racun frank?

    harap, akidah ferris tak lari jauh..

    ya allh..

    ReplyDelete

Please say something..