For my baby ~ Ferris Mokhtar van de Ven

For my baby ~ Ferris Mokhtar van de Ven;
..for all my love, my heart and soul..all belong to you! This is how ummie love you - higher than a mountain, wider than an ocean ~

Sunday, November 22, 2009

UTUSAN 11 Nov 2009

11/11/2009

Elis berjaya dapat hak penjagaan anak


Gambar kenangan Elis Syuhaila Mokhtar bersama suaminya, Firdaus @ Frank Theodorus Van De Ven. - UTUSAN/Mohd. Shaharani Saibi


SHAH ALAM 10 Nov. - Perjuangan seorang bekas pensyarah untuk mendapatkan kembali anak yang telah dilarikan suaminya ke Belgium pada Mac lalu berhasil apabila Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memberikan hak penjagaan kepadanya.

Namun, Elis Syuhaila Mokhtar, 34, tetap berlinangan air mata kerana mengenangkan perjalanan yang masih jauh terpaksa ditempuh bagi membawa pulang Ferris Mokhtar Van de Ven, 5, ke Malaysia.

Sebelum sempat melangkah keluar dari mahkamah, wanita itu menangis semahu-mahunya sambil ditenangkan oleh ibu, Normah Nordin dan kakaknya, Nini Naf Aizah yang berjanji akan berusaha membawa Ferris pulang.

''Orang lain dapat hak penjagaan dapat peluk anak, saya usahkan peluk, dengar suara pun tidak pernah, apatah lagi menatap wajah dia sejak sembilan bulan lalu.

''Saya minta tolong sangat-sangat kepada kerajaan dan Wisma Putra supaya usahakan sesuatu. Saya percaya pada undang-undang, sebab itu saya serahkan Ferris bila diperintah oleh mahkamah.

''Tetapi suami saya pula larikan Ferris. Ferris, pulanglah kepada ummi, ummi amat rindukan Ferris,'' rintih Elis sambil menunjukkan foto serta mainan Ferris yang sentiasa dibawa ke mana-mana.

Menurut Elis, anaknya adalah rakyat Malaysia kerana dia dilahirkan di negara ini serta mempunyai pasport Malaysia dan juga pasport Belanda yang kini berada dalam simpanannya.

Katanya, dia berjuang untuk mendapatkan hak penjagaan Ferris kerana tidak mahu anaknya dibesarkan tanpa mengikut ajaran Islam.

Malah, jelas Elis, dia tidak tamak dan tetap akan membenarkan suaminya, Firdaus @ Frank Theodorus Van De Ven, 40, melawat Ferris sebagaimana yang diperintah oleh mahkamah kerana lelaki itu tetap bapa kepada anaknya.

Terdahulu, Hakim Syarie, Abu Zaky Mohammad memberikan hak penjagaan Ferris kepada Elis selepas defendan (Elis) memberi keterangan sebelah pihak dan mengangkat sumpah istizhar bagi membenarkan segala dakwaannya.

Abu Zaky turut memberikan hak lawatan kepada suaminya yang merupakan warga Belanda untuk menemui Ferris di kediaman Elis di bawah pengawasan isterinya itu.

Dalam keputusan hari ini, beliau juga membenarkan permohonan Elis dengan mengeluarkan satu perintah kepada Wisma Putra untuk membawa Ferris pulang ke Malaysia.

Semasa membacakan keputusannya, Abu Zaky menyifatkan Elis paling layak dan menasihatkan wanita itu agar memberi perhatian serta mengambil peluang tersebut bagi menjaga anaknya sepenuh masa dengan baik.

Katanya, walaupun foto-foto tentang tingkah laku Firdaus tidak disokong oleh bukti lain, mahkamah menerimanya sebagai satu gambaran yang membimbangkan dari segi akidah.

Abu Zaky turut memerintahkan Firdaus untuk membayar kos bagi kes tersebut yang jumlahnya akan ditaksirkan kemudian.

Sebelum ini, Firdaus telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan hak penjagaan Ferris apabila dia dan Elis dalam proses untuk bercerai selepas mendirikan rumah tangga pada 2001.

Awal Februari lalu, Abu Zaky memerintahkan supaya Ferris dipelihara secara bergilir-gilir oleh Elis dan Firdaus sebelum hak penjagaan kekal anak itu diputuskan oleh mahkamah.

Namun pada 25 Mac lalu, mahkamah dimaklumkan bahawa Firdaus telah mengingkari perintah mahkamah selepas tidak menyerahkan semula Ferris kepada Elis.

Berikutan itu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Firdaus dan meminta kerjasama Imigresen, Interpol dan pihak berkuasa lain supaya pengaturcara komputer itu ditahan dan dilarang keluar dari Malaysia.

Namun rekod Jabatan Imigresen menunjukkan dia meninggalkan Malaysia ke Belgium melalui Rantau Panjang, Kelantan pada 5 Mac lalu.


Pada 8 September lalu, Firdaus telah menghubungi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO di Kuala Lumpur dan memberitahu dia tidak akan menyerahkan Ferris serta mengesahkan anak itu ada bersamanya di Belgium.

No comments:

Post a Comment

Please say something..