For my baby ~ Ferris Mokhtar van de Ven

For my baby ~ Ferris Mokhtar van de Ven;
..for all my love, my heart and soul..all belong to you! This is how ummie love you - higher than a mountain, wider than an ocean ~

Sunday, February 28, 2010

Feb 28 - Dari Metro Ahad

Usaha ambil anak


2010/02/28


BATU CAVES: Elis Syuhaila Mokhtar, 35, yang terpisah dengan anaknya Ferris Mokhtar van de Ven, 7, selepas dilarikan suaminya dipercayai ke Belgium, tidak mahu lagi bersedih tetapi mengorak langkah bagi memastikan dapat bersamanya anaknya.

“Rabu ini, genap setahun saya kehilangannya dan tidak mahu terus menunggu dan sebab itu saya mahu bangkit berusaha dalam apa cara sekali pun supaya dapat bersama Ferris,” katanya sambil menitiskan air mata kerana terlalu rindukan anak tunggalnya hasil perkahwinan dengan warga Belanda, Frank Theodorus van de Ven @ Firdaus, 40.


Dia akan cuba mengumpul wang bagi membayar peguam yang bakal dilantik di Belgium untuk mengembalikan anaknya walaupun sedar jumlah diperlukan tinggi, dipercayai boleh menjangkau kepada RM100,000.


Bekas pensyarah itu juga mendakwa, jika usaha itu tidak berjaya dia nekad untuk ke negara itu walaupun berdepan kemungkinan dihantar pulang semula atau ditahan pihak berkuasa di sana disebabkan suaminya pernah membuat laporan bahawa dia adalah ekstremis Islam, sekali gus menyebabkannya disenarai hitam di negara terbabit.


“Untuk mengumpul dana bagi menampung pembiayaan peguam itu, saya kini dalam proses akhir menyiapkan sebuah novel yang mengisahkan pengalaman berkahwin dengan lelaki warga asing. Saya juga akan kembali melukis dan menjualnya kerana pernah berpengalaman membuat pameran sebelum ini hingga mampu menjual hingga RM3,000 bagi satu lukisan.

“Saya juga bernasib baik kerana seorang anak muda (Aesar Mustafa) sudi mencipta lagu khas kepada Ferris bertajuk ‘Lagu Untuk Ferris — Buaian Rindu’ untuk dijadikan single kepada pendatang baru, Arrora Salwa secara percuma dan 50 peratus hasil jualan album itu juga akan masuk ke tabung Ferris yang akan dilancarkan nanti,” katanya.


Kisah perpisahan Elis Syuhaila dan Ferris Mokhtar dilaporkan media hingga mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang meminta bantuan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail, melihat kaedah perundangan bersesuaian untuk tindakan membawa pulang semula kanak-kanak terbabit.


Masalah itu timbul dipercayai berpunca akibat pergolakan rumah tangga Frank dan Elis yang menyebabkan wanita terbabit tidak membawa anak mereka pulang ke Belgium, selepas kembali ke negara ini pada Oktober 2007. Elis yang ditemui Metro Ahad semalam turut mengakui sepanjang tempoh terpisah dengan anaknya, emosinya jadi tidak menentu kerana terlalu mengingati dan rindu terhadapnya.


“Banyak kenangan yang dilalui kami bersama yang tidak dapat dilupakan dan paling tidak dapat dikikis dari ingatan saya hingga masih terngiang-ngiang di telinga adalah jeritannya tidak mahu berpisah dengan saya ketika diambil oleh bapanya.


“Saya juga ada berkongsi pengalaman dengan masyarakat apabila membuka akaun ‘Bring Back Ferris To Malaysia’ di laman sosial, Facebook,” katanya.


Sementara itu, Aesar yang mencipta lagu untuk Ferris mendakwa dia menghasilkan melodi dan lirik terbabit secara spontan selepas mendengar cerita Elis Syuhaila ketika dipertemukan oleh seorang rakan.


“Single berkenaan kini dalam proses menyiapkan gambar cover selepas selesai rakaman dan berusaha mendapat kerjasama untuk mengedarkan album sekali gus dapat mengumpul dana mengisi tabung untuk Ferris nanti,” katanya.

Feb 28 - Dari Berita Minggu

Cipta lagu untuk bawa pulang anak
Oleh Hafizah Iszahanid
bminggu@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Walaupun banyak pihak berjanji untuk membantu bekas pensyarah, Elis Syuhaila Mokhtar, 35 mendapatkan kembali anaknya Ferris Mokhtar Van de Ven, 7 tahun yang dilarikan bekas suaminya, Frank Theodorus Van de Ven setahun lalu, sehingga kini masih tiada perkembangan mengenainya walaupun daripada Wisma Putra.

Justeru, Elis merancang untuk memulakan kutipan dana melalui penjualan hasil seni seperti lukisan, novel malah sebuah lagu khas untuk Ferris, Lagu untuk Ferris - Buaian Rindu sudah dirakamkan bagi membolehkannya mengupah peguam di Belgium untuk mencabar keputusan hak penjagaan Ferris yang diberikan kepada Frank Theodorus oleh mahkamah di Belgium.

Sebelum itu, Elis sudah mendapat hak penjagaan penuh Ferris mengikut Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam November tahun lalu.

“Selasa ini (3 Mac) cukup setahun saya kehilangan Ferris, hanya Tuhan yang tahu betapa rindunya saya. Mana ada ibu yang tidak merindui anaknya, apatah lagi jika dia dilarikan dan mana ada ibu yang hanya duduk diam dan tidak mencari anak yang hilang?,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu.

Selasa ini juga, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam akan membuat keputusan berhubung permohonan komital Elis supaya Frank dikenakan prosiding menghina mahkamah kerana gagal mematuhi perintah hak penjagaan anak mereka.

Kata Elis, dia berpegang pada kata-kata terakhir Ferris sebelum anaknya dilarikan Frank. Ferris meminta Elis mencarinya jika dia hilang.

“Umi, jika saya hilang Umi janji cari saya ya..., sebab saya satu-satunya anak Umi. Kata-kata itu adalah azimat buat saya dan menguatkan saya untuk memastikan Ferris kembali ke pangkuan saya semula,” katanya.

Kata Elis, usaha mendapatkan semula Ferris tidak mampu dilakukannya bersendirian, sebaliknya dia menaruh harapan penuh kepada kerajaan untuk mendapatkan semula Ferris.

“Saya tidak boleh lakukan ini bersendirian, isu Ferris sudah membabitkan dua negara, Malaysia dan Belgium,” katanya.

Jelas Elis, dia tidak peduli dengan tohmahan dan cacian masyarakat yang mendakwa itulah harga yang dia perlu bayar kerana bersuamikan lelaki asing kerana dalam Islam menyebut rezeki, ajal dan jodoh pertemuan manusia itu semuanya ketentuan Allah.

Malah Elis juga tidak terusik dengan dakwaan bekas suaminya yang mendakwa dia seorang wanita liar dan lesbian, malah memiliki teman lelaki ketika masih bergelar isteri.

Elis berkata, perjuangannya untuk mendapatkan Ferris bukan lagi perjuangan mendapatkan seorang anak tetapi melangkaui pada hak asasi seorang manusia. Ini kerana dia banyak menerima e-mel daripada ibu tunggal yang turut berdepan dengan nasib sepertinya. Malah ada seorang ibu tunggal yang berpisah dengan anaknya sejak 20 tahun lalu apabila bekas suami melarikan si anak ke negara asal.

Feb 27 - Temubual pertama 'Lagu Untuk Ferris- Buaian Rindu' dengan Harian Metro




Hari ni 27 Feb adalah temubual pertama tentang Lagu untuk Ferris - Buaian Rindu, nyanyian Arrora Salwa, lagu/lirik ciptaan Aesar Mustafa oleh Metro Ahad di rumah saya. Semoga lagu ini mendapat sambutan dari semua rakyat Malaysia. Pembelian album lagu ini, 50% akan didermakan untuk Tabung BRING BACK FERRIS TO MALAYSIA. ...Semoga perjuangan saya untuk mendapatkan Ferris semula kembali ke pangkuan akan membuahkan hasil, yakni mendapatkan jumlah yang mencukupi untuk mengambil peguam di Belgium! Bersama-samalah membantu saya... inilah perjuangan saya, demi anak yang tersayang!
Ferris...i told u, ummie will find u back as i've promised u...I WILL GET U BACK! ~i love u baby...cant wait to hug + kiss + bite u!!! gawrrrr..

Tuesday, February 23, 2010

Text on CD album 'Lagu untuk Ferris - Buaian Rindu' by Arrora Salwa



Kisah Elis dan Ferris


Telah diciptakan olehNya suatu ikatan yang cukup teguh dan kasih sayang yang teramat indah untuk dimiliki antara ibu dan anak. Sembilan bulan sembilan hari bersusah-payah anak dikandungkan, diuji antara hidup dan mati semasa melahirkan, kesabarannya membesarkan si anak menjadikan si ibu seorang yang kuat, tabah, pengasih dan penyayang. Begitulah saratnya kasih sayang dan pengorbanan si ibu. Namun, apa akan terjadi jika si ibu dipisahkan dengan anaknya? Dan kasih sayang yang melimpah ruah itu dihalang? Lebih menyakitkan lagi bila anak yang masih kecil itu dibawa pergi? Mampukah si ibu bertahan dan terus merindui anak yang senantiasa dalam dakapannya itu? Anak yang masih disuap makannya itu?


Inilah perasaan yang ditanggung oleh si ibu sepanjang perpisahan yang amat perit itu. Saban hari merindui si anak. Saban hari mengharapkan suatu keajaiban akan berlaku – anak kecilnya itu akan dibawa pulang semula ke pangkuannya agar dapat didakap dan dibelainya semula. Namun, pernantian demi pernantian. Harapan demi harapan. Si ibu tidak pernah lupa, si ibu tidak pernah patah semangat menantikan si anak. Lantas buaian rindu dihayunnya senantiasa pada setiap saat dan tika wajah anak menjelma di matanya...


Ferris Mokhtar van de Ven di lahirkan pada 7 Disember 2003 di Subang Jaya, Selangor, Malaysia, yang telah diambil dari jagaan ibunya Elis Syuhaila Mokhtar dan dilarikan oleh bapa kandungnya Frank van de Ven berbangsa Belanda ke Belgium pada 03 Mac 2009 sehingga kini. Pada hari itulah kali terakhir Elis melihat Ferris sehingga kini tiada pernah lagi Elis melihat mahupun mendengar suara Ferris! Hari demi hari berlalu, telah puas Elis menangis, telah kering airmatanya menangisi perpisahan itu. Akhirnya dia berserah, sesungguhnya, airmata tidak akan dapat merubah apa-apa, ia hanya dapat menagih belas simpati, tetapi tidak akan dapat mengubah takdir yang ditentukan olehNya. Kini, Elis bangun untuk memperjuangkan haknya sebagai seorang ibu ke atas anaknya, Ferris! – Apakah yang dapat menandingi cinta kudus seorang ibu terhadap anaknya? Bukankah seorang ibu itu sanggup berkorban apa sahaja dan sanggup menggantikan nyawanya demi anaknya?


‘Lagu untuk Ferris – Buaian Rindu’ ini diciptakan khas oleh Aesar Mustafa dan dinyanyikan oleh Arrora Salwa teristimewa buat pengorbanan seorang ibu, Elis yang bercerai kasih dengan anaknya, Ferris, dengan makna liriknya yang sungguh mendalam menghayati perasaan, pengharapan, dan kerinduan Elis untuk Ferris selama perpisahan ini. Lagu ini juga adalah sebagai sokongan untuk Elis terus memperjuangkan agar Ferris kembali kepangkuannya!


Marilah kita bersama-sama memberikan sokongan penuh kepada Elis dan Ferris, satu kisah cinta agung yang terhalang – kasih sayang abadi antara ibu dan anak. Lagu ini juga ditujukan khas untuk semua yang mengalami penderitaan yang sama..


Berikan sokongan anda dengan melayari BRING BACK FERRIS TO MALAYSIA group di Facebook, juga www.ferriswithlove.blogspot.com.

Wednesday, February 17, 2010

Lagu untuk Ferris - Buaian Rindu


Gambar: Aesar Mustafa (kiri) Arrora Salwa (kanan)

Alhamdulillah..
Syukur kepada Allah swt..
Tiada apa yang dapat saya perkatakan.. atas jasa baik para pemberita hampir semua surat khabar menyiarkan kisah perjuangan saya untuk Ferris, rasa simpati para penulis yang menulis kisah saya di majalah-majalah, dan keperihatinan para penerbit rancangan TV kisah saya kerap tersiar..
Kini..
Perjuangan saya selama ini telah mengambil perhatian seorang composer Aesar Mustafa, yang saya kenali semasa saya menghadiri Teater Amal di Matic, KL pada bulan November tahun lalu, yang sebelumnya beliau sentiasa mengikuti perkembangan saya. Lalu beliau menegur saya dan kami mula bercerita panjang. Setelah mendengar kisah perjuangan saya yang terluah dari mulut saya sendiri, telah melahirkan rasa simpati sehinggakan beliau menciptakan sebuah lagu khas mengenai perjuangan saya mendapatkan Ferris kembali. Lagu ini penuh dengan emosi dan liriknya membayangkan penderitaan saya menanggung rindu dan betapa besarnya harapan saya untuk bertemu kembali dengan Ferris.

Saya berterus terang kepadanya, bahawa saya tak ada modal untuk recording dan mengupah penyanyi untuk lagu ini, namun beliau berkata agar saya tidak perlu risau tentang itu semua. Dengan itu kami merakamkan lagu ini (demo) dan letakkannya di youtube untuk mendapatkan sokongan mana-mana pihak yang berminat. Mendengarkan kesyahduan lagu Ferris itu, telah mengambil perhatian seorang penyanyi baru, Arrora Salwa, yang juga pengikut setia perjuangan saya setiap kali cerita saya terpapar di dada akhbar, majalah dan TV. Lalu Arrora telah menawarkan dirinya untuk mendendangkan lagu Ferris ini. Setelah mendengar Arrora menyanyikan lagu tersebut, saya dan Aesar amat terkagum dengan kelunakkan suaranya yang amat merdu. Arrora juga menitiskan airmata ketika menyanyikan lagu Ferris ini! Dengan itu beliau telah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Arrora Salwa, untuk membawa lagu ini.

Telah banyak yang saya usahakan untuk mendapatkan perhatian dari kerajaan agar bersungguh menyelesaikan kes saya, tersiar di suratkhabar, majalah, rancangan TV, apa yang belum saya usahakan? Sayangnya..ia masih terkial-kial untuk mendapatkan perhatian penuh dari kerajaan kita!

Harapan saya, semoga dengan terciptanya lagu untuk Ferris yang bertajuk 'Buaian Rindu' ini, yang bakal diperdendangan di radio-radio dapat menambahkan lagi publicity di kalangan pihak berkenaan atau mana-mana pihak yang sudi menghulurkan bantuan kepada saya untuk mendapatkan Ferris semula. Terutama dapat menarik perhatian kerajaan kita, bahawa, perjuangan saya ini bukan sekadar perjuangan biasa, perjuangan saya adalah demi aqidah Ferris, cukuplah kisah Natrah, dan terutamanya demi kasih sayang seorg ibu terhadap anaknya yang tidak ternilai! Tidak terucap dengan zahir! Saya tahu, bukan saya seorang sahaja yang menerima nasib terpisah dengan anak bila keretakkan rumahtangga terjadi, oleh itu, saya juga mewakili pada semua para ibu, bahawa perjuangan saya ini bukan sia-sia. Dan saya tidak akan berputus-asa! Demi anak saya!

Sesungguhnya perasaan yang saya rasa saat ini, untuk mengawal gelora perasaan rindu, kasih, cinta saya terhadap Ferris, saya mengumpama bahawa saya ini sedang mengandungkannya, seperti yang saya lalui enam tahun lalu sewaktu Ferris di dalam kandungan saya..dan kini, saya hanya menantikan saat untuk melahirkannya ke dunia...agar dapat saya curahkan segala rasa kasih, sayang, cinta ini padanya! Mendakap dan membelainya..
Inilah pernantian saya..

Berilah sokongan pada saya dan kerja amal Aesar Mustafa dan Arrora Salwa..
Hanya Allah sahaja yg dapat membalas budi baik mereka, juga pada semua penyokong Ferris yang tidak jemu memberikan saya kata-kata semangat!

Ya Allah, hanya satu yang ku pinta..temukanlah aku dengan anakku, Ferris! Itulah doaku, zikir bibir ini...jgnlah Kau duga aku lagi! Ianya terlalu menyakitkan aku! Amin

Ferris, as ummie has promised u, whenever i lost u, ummie will find u back, ummie will find u back, baby! Ummie will do anything to be with u, to watch u grow..and ummie dsnt want to miss a thing! Wait for me, baby...

Salam
ummie Ferris