For my baby ~ Ferris Mokhtar van de Ven

For my baby ~ Ferris Mokhtar van de Ven;
..for all my love, my heart and soul..all belong to you! This is how ummie love you - higher than a mountain, wider than an ocean ~

Sunday, February 28, 2010

Feb 28 - Dari Berita Minggu

Cipta lagu untuk bawa pulang anak
Oleh Hafizah Iszahanid
bminggu@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Walaupun banyak pihak berjanji untuk membantu bekas pensyarah, Elis Syuhaila Mokhtar, 35 mendapatkan kembali anaknya Ferris Mokhtar Van de Ven, 7 tahun yang dilarikan bekas suaminya, Frank Theodorus Van de Ven setahun lalu, sehingga kini masih tiada perkembangan mengenainya walaupun daripada Wisma Putra.

Justeru, Elis merancang untuk memulakan kutipan dana melalui penjualan hasil seni seperti lukisan, novel malah sebuah lagu khas untuk Ferris, Lagu untuk Ferris - Buaian Rindu sudah dirakamkan bagi membolehkannya mengupah peguam di Belgium untuk mencabar keputusan hak penjagaan Ferris yang diberikan kepada Frank Theodorus oleh mahkamah di Belgium.

Sebelum itu, Elis sudah mendapat hak penjagaan penuh Ferris mengikut Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam November tahun lalu.

“Selasa ini (3 Mac) cukup setahun saya kehilangan Ferris, hanya Tuhan yang tahu betapa rindunya saya. Mana ada ibu yang tidak merindui anaknya, apatah lagi jika dia dilarikan dan mana ada ibu yang hanya duduk diam dan tidak mencari anak yang hilang?,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu.

Selasa ini juga, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam akan membuat keputusan berhubung permohonan komital Elis supaya Frank dikenakan prosiding menghina mahkamah kerana gagal mematuhi perintah hak penjagaan anak mereka.

Kata Elis, dia berpegang pada kata-kata terakhir Ferris sebelum anaknya dilarikan Frank. Ferris meminta Elis mencarinya jika dia hilang.

“Umi, jika saya hilang Umi janji cari saya ya..., sebab saya satu-satunya anak Umi. Kata-kata itu adalah azimat buat saya dan menguatkan saya untuk memastikan Ferris kembali ke pangkuan saya semula,” katanya.

Kata Elis, usaha mendapatkan semula Ferris tidak mampu dilakukannya bersendirian, sebaliknya dia menaruh harapan penuh kepada kerajaan untuk mendapatkan semula Ferris.

“Saya tidak boleh lakukan ini bersendirian, isu Ferris sudah membabitkan dua negara, Malaysia dan Belgium,” katanya.

Jelas Elis, dia tidak peduli dengan tohmahan dan cacian masyarakat yang mendakwa itulah harga yang dia perlu bayar kerana bersuamikan lelaki asing kerana dalam Islam menyebut rezeki, ajal dan jodoh pertemuan manusia itu semuanya ketentuan Allah.

Malah Elis juga tidak terusik dengan dakwaan bekas suaminya yang mendakwa dia seorang wanita liar dan lesbian, malah memiliki teman lelaki ketika masih bergelar isteri.

Elis berkata, perjuangannya untuk mendapatkan Ferris bukan lagi perjuangan mendapatkan seorang anak tetapi melangkaui pada hak asasi seorang manusia. Ini kerana dia banyak menerima e-mel daripada ibu tunggal yang turut berdepan dengan nasib sepertinya. Malah ada seorang ibu tunggal yang berpisah dengan anaknya sejak 20 tahun lalu apabila bekas suami melarikan si anak ke negara asal.

No comments:

Post a Comment

Please say something..