For my baby ~ Ferris Mokhtar van de Ven

For my baby ~ Ferris Mokhtar van de Ven;
..for all my love, my heart and soul..all belong to you! This is how ummie love you - higher than a mountain, wider than an ocean ~

Sunday, February 28, 2010

Feb 28 - Dari Metro Ahad

Usaha ambil anak


2010/02/28


BATU CAVES: Elis Syuhaila Mokhtar, 35, yang terpisah dengan anaknya Ferris Mokhtar van de Ven, 7, selepas dilarikan suaminya dipercayai ke Belgium, tidak mahu lagi bersedih tetapi mengorak langkah bagi memastikan dapat bersamanya anaknya.

“Rabu ini, genap setahun saya kehilangannya dan tidak mahu terus menunggu dan sebab itu saya mahu bangkit berusaha dalam apa cara sekali pun supaya dapat bersama Ferris,” katanya sambil menitiskan air mata kerana terlalu rindukan anak tunggalnya hasil perkahwinan dengan warga Belanda, Frank Theodorus van de Ven @ Firdaus, 40.


Dia akan cuba mengumpul wang bagi membayar peguam yang bakal dilantik di Belgium untuk mengembalikan anaknya walaupun sedar jumlah diperlukan tinggi, dipercayai boleh menjangkau kepada RM100,000.


Bekas pensyarah itu juga mendakwa, jika usaha itu tidak berjaya dia nekad untuk ke negara itu walaupun berdepan kemungkinan dihantar pulang semula atau ditahan pihak berkuasa di sana disebabkan suaminya pernah membuat laporan bahawa dia adalah ekstremis Islam, sekali gus menyebabkannya disenarai hitam di negara terbabit.


“Untuk mengumpul dana bagi menampung pembiayaan peguam itu, saya kini dalam proses akhir menyiapkan sebuah novel yang mengisahkan pengalaman berkahwin dengan lelaki warga asing. Saya juga akan kembali melukis dan menjualnya kerana pernah berpengalaman membuat pameran sebelum ini hingga mampu menjual hingga RM3,000 bagi satu lukisan.

“Saya juga bernasib baik kerana seorang anak muda (Aesar Mustafa) sudi mencipta lagu khas kepada Ferris bertajuk ‘Lagu Untuk Ferris — Buaian Rindu’ untuk dijadikan single kepada pendatang baru, Arrora Salwa secara percuma dan 50 peratus hasil jualan album itu juga akan masuk ke tabung Ferris yang akan dilancarkan nanti,” katanya.


Kisah perpisahan Elis Syuhaila dan Ferris Mokhtar dilaporkan media hingga mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang meminta bantuan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail, melihat kaedah perundangan bersesuaian untuk tindakan membawa pulang semula kanak-kanak terbabit.


Masalah itu timbul dipercayai berpunca akibat pergolakan rumah tangga Frank dan Elis yang menyebabkan wanita terbabit tidak membawa anak mereka pulang ke Belgium, selepas kembali ke negara ini pada Oktober 2007. Elis yang ditemui Metro Ahad semalam turut mengakui sepanjang tempoh terpisah dengan anaknya, emosinya jadi tidak menentu kerana terlalu mengingati dan rindu terhadapnya.


“Banyak kenangan yang dilalui kami bersama yang tidak dapat dilupakan dan paling tidak dapat dikikis dari ingatan saya hingga masih terngiang-ngiang di telinga adalah jeritannya tidak mahu berpisah dengan saya ketika diambil oleh bapanya.


“Saya juga ada berkongsi pengalaman dengan masyarakat apabila membuka akaun ‘Bring Back Ferris To Malaysia’ di laman sosial, Facebook,” katanya.


Sementara itu, Aesar yang mencipta lagu untuk Ferris mendakwa dia menghasilkan melodi dan lirik terbabit secara spontan selepas mendengar cerita Elis Syuhaila ketika dipertemukan oleh seorang rakan.


“Single berkenaan kini dalam proses menyiapkan gambar cover selepas selesai rakaman dan berusaha mendapat kerjasama untuk mengedarkan album sekali gus dapat mengumpul dana mengisi tabung untuk Ferris nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Please say something..