For my baby ~ Ferris Mokhtar van de Ven

For my baby ~ Ferris Mokhtar van de Ven;
..for all my love, my heart and soul..all belong to you! This is how ummie love you - higher than a mountain, wider than an ocean ~

Wednesday, March 2, 2011

Berita Harian March 02, 2011 - Rindu seorang ibu

Rindu seorang ibu
Oleh Nor Affizar Ibrahim
Rabu , 02 Mac 2011



pix_gal0


Elis kumpul wang cari anak “KELAK jika ditakdirkan saya tidak dapat berjumpa Ferris sehingga dia dewasa, akan saya tunjukkan inilah buktinya...buku yang ditulis dan usaha dibuat untuk mencarinya. Saya tidak akan berhenti berusaha mencarinya kerana dialah pengarang jantung hati dan ia tidak mungkin terpadam dalam jiwa ini.” Ibu malang, Elis Syuhaila Mokhtar, 35, ternyata masih tidak berputus asa untuk mencari anak tunggalnya, Ferris Mokhtar Ven De Ven, 8, yang dipercayai dibawa lari oleh bekas suami, Firdaus @ Frank Theodorus Van De Ven, 40, keluar dari Malaysia dan dibawa ke Belgium, hampir dua tahun lalu.
Pada tanggal 5 Mac depan, genaplah dua tahun Elis tidak menatap wajah comel anak kesayangannya itu. Luruh hati si ibu kerana sehingga saat ini tiada lagi khabar berita yang diterima mengenai anaknya itu, malah di mana sekarang Ferris berada juga tidak dapat lagi dijejaki.

Apakan daya, hanya air mata menjadi teman di kala hati diasak rasa resah dan meruntun untuk melihat wajah comel dan mendengar celoteh petah serta keletah manja si anak. Doa yang dititipkan untuk si manja supaya sentiasa dilindungi dan hidup sejahtera juga tidak pernah putus. Riak wajah dipaparkan memang tampak tenang tetapi semua itu hanyalah satu kepura-puraan kerana gelodak jiwa rindu seorang ibu pada anak yang dikandung dan dilahirkan, payah sekali untuk dibiarkan berlalu begitu saja.
“Saya kecewa dan sedih, e-mel yang dikirim juga tidak pernah dibalas. Sekurang-kurangnya jawab dan beritahu di mana anak saya itu ‘disorokkan’. Bukankah saya ibunya dan berhak untuk mengetahui keadaannya?” kata Elis ketika ditemui selepas majlis pelancaran novel karyanya berdasarkan pengalaman hidup bertajuk 'Ku Bawa Hati Ini' terbitan Alaf 21, di ibu negara, baru-baru ini. Penghasilan dan pelancaran novel berkenaan menjadi usaha terbaru Elis untuk mendapatkan anaknya semula selepas dilarikan bekas suami ke Belgium. Novel dihasilkan itu berkisar daripada pengalaman hidupnya menjadi isteri kepada lelaki bangsa asing dan tindakan meninggalkan bekas suaminya selepas hampir 10 tahun hidup bersama serta pengorbanan dilakukan mengikut lelaki dikasihi tinggal di luar negara.
“Sudah puas saya menangis, sudah puas saya menagih simpati atau bantuan, saya perlu bangkit dengan mengumpul dana bagi mendapatkan pembiayaan kos guaman untuk menuntut semula hak saya sebagai ibu kepada Ferris. Saya berharap penghasilan dan penjualan novel ini dapat membantu saya mengumpul wang secukupnya dalam usaha membawa pulang semula Ferris ke Malaysia,” katanya. Elis memberitahu, sekurang-kurangnya RM100,000 perlu dikumpulkan dalam usahanya berjuang untuk membawa Ferris kembali di sisinya. Wang itu akan digunakan untuk kos tiket penerbangan, penginapan, makan minum dan juga kos guaman.
Katanya, walaupun mempunyai ramai teman di Belgium, dia tidak bercadang untuk menumpang tinggal di rumah mereka kerana bimbangkan keselamatannya, lebih-lebih lagi apabila berada jauh dengan keluarganya. “Saya juga tidak mungkin pergi berseorangan kerana macam-macam kemungkinan boleh berlaku terutama soal keselamatan diri. Oleh sebab itulah saya berharap dapat mengumpul wang yang banyak sebagai persiapan untuk berusaha mendapatkan semula Ferris. Ia sememangnya satu jumlah yang besar dan mungkin tidak cukup tetapi saya perlu berusaha keras demi Ferris,” katanya.
Elis tidak menafikan, masih terngiang-ngiang di telinganya suara tangisan dan kata-kata Ferris yang memintanya berjanji untuk berusaha membawanya kembali. Malah, Elis sendiri walau sedetik tidak pernah melupai janji itu. Berkongsi rasa, Elis mendakwa bekas suami melarikan anaknya, Ferris keluar dari Malaysia hampir dua tahun lalu dengan bantuan seorang ejen luar negara. Perkara itu diberitahu kepadanya oleh wartawan Belgium yang menghubunginya untuk mendapatkan perkembangan mengenai perpisahannya dengan Ferris, sebelum ini. Katanya, oleh kerana kes berkenaan mendapat liputan luas media di Belgium dan Belanda, dia pernah dimaklumkan oleh wartawan itu bahawa ejen berkenaan sentiasa memberi bantuan kepada pasangan berlainan negara yang menghadapi masalah dalam soal penjagaan anak mereka.
“Saya diberitahu, ejen berkenaan membantu pasangan bermasalah dengan `menculik' anak mereka. Sebab itu, sampai sekarang saya masih musykil bagaimana Ferris boleh dibawa lari bapanya yang juga warga asing keluar dari Malaysia tanpa sebarang dokumen. Sampai sekarang juga saya tidak dengar sebarang kenyataan daripada Jabatan Imigresen mengenai kes itu,” katanya melahirkan perasaan kecewa. Elis berkata, idea timbul untuk menghasilkan novel kisah hidupnya, sejak pulang ke Malaysia pada 2007.
Mengingati semula detik awal untuk menghasilkan novel berkenaan, Elis memberitahu semua catatan itu adalah luahan jiwa yang tulus dan ia banyak menggambarkan perasaan sedih, harapannya dan apa yang dirasakan ketika itu. Pergolakan rumah tangga dengan bekas suami membuatkan Elis semakin berusaha untuk terus mencoret luahan hati dan perasaannya. “Saya menulis sepanjang hari tanpa mengira waktu dan Ferris sentiasa di sisi pada waktu saya menulisnya. Sesekali dia sibuk bertanya, apa yang saya tulis dan ada masa saya terpaksa berhenti menulis beberapa kali kerana perlu melayani kerenahnya. “Ketika itu, saya memang bersemangat meluahkan apa saja yang terbuku di hati. Hinggalah, apabila Ferris dibawa lari oleh bekas suami pada Mac 2009, saya buntu dan tidak dapat menyiapkannya walaupun sebenarnya ia hampir siap.
“Ketika itu, setiap kali saya cuba menulis, wajah Ferris sentiasa bermain di hujung mata pena. Gangguan emosi yang melampau, saya hilang punca. Akhirnya, berbulan-bulan saya berhenti menulis tetapi selepas 14 bulan saya bangkit semula. Kakak sulung menasihatkan, saya perlu bangkit dan jumpa orang serta tidak boleh duduk di rumah saja. Sejak itulah saya cuba menghabiskan novel ini,” katanya yang akan mulakan tugas sebagai pensyarah kolej swasta di ibu negara pada Februari depan. Sebelum ini, Elis pernah mendapat sokongan pencipta lagu, Aesar Mustafa menghasilkan lagu khas bertajuk 'Lagu Untuk Ferris - Buaian Rindu' untuk album single nyanyian pendatang baru, Arrora Salwa. Melalui usaha itu, 50 peratus hasil jualan album single berkenaan dimasukkan ke tabung 'Bring Back Ferris To Malaysia' yang dibentuk untuk mengumpul dana membiayai pemergian Elis Syuhaila ke Belgium dan membiayai kos guaman.
“Seorang ibu tidak akan putus harap untuk berjumpa anaknya. Bermula detik hayat janin yang bergerak di dalam perut dan hinggalah kini, kasih sayang saya pada Ferris tidak akan terpadam. Tidak kiralah apa orang hendak kata terhadap saya dan mungkin ada juga yang mencemuh padan muka serta menganggap inilah akibatnya kerana memilih warga asing sebagai pasangan hidup. “Saya tidak kisah semua itu tetapi saya nak tegaskan, sekurang-kurangnya buku novel yang dihasilkan adalah titik peluh sendiri. Saya akan dapatkan anak saya,” ulangnya untuk sekian kali.
Selain menulis novel, Elis yang juga bekas graduan seni halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan mempunyai bakat besar melukis, kini sedang giat menyiapkan beberapa lukisan untuk dijual. Katanya, sebelum ini hasil lukisannya yang menggunakan medium akrilik pernah dipamerkan di galeri dan dijual kepada orang ramai yang berminat dengan sentuhan karyanya. Justeru, minat dan bakat yang ada dipupuk semula dan kini, sudah 10 lukisan yang berjaya disiapkan. “Saya berharap ada pihak tertentu yang berminat untuk mempamerkan hasil karya saya dan dengan cara itu, dapatlah saya menjualnya. Cara itu lebih cepat saya dapat duit dan ia bolehlah diguna menambahkan dana bagi mencabar keputusan hak penjagaan Ferris seterusnya membawanya pulang ke Malaysia,” katanya menggumpal harapan besar.

12 comments:

  1. THANK YOU, Affizar dr Berita Harian yang selama ini sering memberi sokongan kepada saya untuk perjuangan ini! amin!

    ReplyDelete
  2. Salaam Elis...
    Mama dapat rasakan betapa berat dan saratnya rasa rindumu pada Ferris. Mama simpati dan di masa yang sama, mama mendoakan agar dipermudahkan segala urusan mu dik. Semoga Ferris dapat kembali semula ke pangkuan ibunya yang tercinta. InsyaAllah akan mama dapatkan novel Elis ini walaupun mama tidak tahu, adakah hati ini kuat untuk membacanya. Sedangkan baru membaca entry ini sahaja, mama sudah tidak mampu menahan airmata dari menitis. Apa-apa pun, bersabar dan terus berdoa ye dik. Allah tak akan menguji umatnya lebih dari kemampuan mereka menerimanya. Take care dear....

    ReplyDelete
  3. walaikumsalam mamaFami..
    tiada apa yang dapat saya balas di sini setelah membaca kata2 puan yang sangat menyentuh hati saya. Ya, demi anak..seorg ibu itu sgup melakukan apa sahaja..walaupun ditukar nyawanya...saya sanggup. Allah itu Maha Kaya, hanya Dia menguji saya...dan saya harus kuat dan tabah.. Ini hanyalah sebahagian kecil dr sakit kematian.. iaitu sakit menanggung rindu! Terima kasih puan. Amin amin amin. Ya Allah, makbulkanlah!

    ReplyDelete
  4. As-salam cikgu...
    Sy bdoa pd Allah S.W.T akan mpermudahkan segala urusan cikgu unt bw pulang Ferris.
    Sy tau cikgu seorg yg cekal hatinya. InsyaAllah, Allah akan terus bersama org2 yg sentiasa ingat pdNya. Cikgu adalah org yg 'dipilih' Allah unt menerima ujian ini sbb hanya cikgu shja yg boleh mhadapinya.
    Iringan doa sy sentiasa bersama cikgu!.

    ReplyDelete
  5. walaikumsalam ibu amani...
    terima kasih banyak2 dengan kata-kata semangat dan doa untuk saya dan Ferris..
    boleh saya tahu siapa ibu amani ni? samada bekas student saya atau ibu kepada bekas anak murid saya, sbb dulu selepas Ferris diambil, saya jadi guru sementara di SKBRP dan selepas tu di SKBBSB..
    Bila kita hilang anak, hanya kanak2 juga lah yang dapat ubat jiwa kita balik.
    :)

    ReplyDelete
  6. I'm Fizah Rosli,x-student teacher kt SKDT dl.
    Anak didik cikgu Nini jg.

    ReplyDelete
  7. Elis, you are a strong woman and I hope very soon your news gets world coverage and you get back your son no matter where he is. I hope the government of Malaysia can sponsor your funds to get back your son to Malaysia. I hope to buy your novel soon as part of my support. I feel that you should just set up a fund and ask for donation from everyone in Malaysia for your journey to bring back your son to you.

    Regards,
    Sally

    ReplyDelete
  8. ibu amani: Oh ye ke..sorry teacher dah tak ingat mana satu...ada join teater yg teacher buat tak?
    ada facebook? i really want to see how u look like now..but, certain students i still remember them until now altho it's been 18 years ago! :)

    ReplyDelete
  9. Dear Sally, thanx a lot for your words..they are mean a lot to me! Yes, indeed! I need that strength to keep me going!
    About the fund thing...i really dont know how could i get that.. i just pray the selling of my novel is going good..that is all! The rest, i leave it to God in absolute way, i surrender myself, and pray that He will make it happened! Amin!

    ReplyDelete
  10. sy x join tp smpi skrg ingat teater cinderella arahan teacher tu...
    fb sy 'norhafizah rosli'. i'm already ur friend kt fb.keep in touch!...(",)...

    ReplyDelete
  11. hahahha... lama punye cerita tu..tahun 1993!! dah berbelas tahun. Thanx that u still remember me :) walaupun teacher mengajar kat SKDT 6 bulan je.. Then teacher masuk uitm :)...and thank you for supporting my cause. yes, indeed..we will keep in touch!

    ReplyDelete
  12. Salam Elis...
    Setelah lama mengikuti perkembangan elis,airmata saya bercucuran membaca entry ini..ya, seorang ibu sanggup melakukan apa saja demi anaknya walaupun bertaruh nyawa.. be strong..

    ReplyDelete

Please say something..