For my baby ~ Ferris Mokhtar van de Ven

For my baby ~ Ferris Mokhtar van de Ven;
..for all my love, my heart and soul..all belong to you! This is how ummie love you - higher than a mountain, wider than an ocean ~

Saturday, May 7, 2011

Berita Harian Mei 07, 2011 - KASIH IBU


KASIH IBUOleh Nor Affizar Ibrahim dan Fatin Hafizah Mohd Shahar
bhnita@bharian.com.my 
2011/05/07

  • Foto
    Elis Syuhaila Mokhtar
  • Foto
    Zulfa Zainal Abidin
  • Foto
    Zariah Muhammad
Pengorbanan bonda tercinta tiada noktah

HARI Ibu dianggap sebagai tanda meluahkan rasa cinta, hormat, kasih sayang dan terima kasih di atas pengorbanan yang dicurahkan kepada kita yang sebenarnya tidak pernah ada noktah.

Jika diimbas, Hari Ibu yang pertama disambut di Amerika Syarikat pada 1914 yang kemudian tersebar ke seluruh dunia dengan sambutan yang berbeza mengikut kaedah masing-masing.
Keunggulan dan keagungan ibu juga amat tinggi sehingga sering diingatkan bahawa ‘syurga di bawah tapak kaki ibu’. Anak juga amat dituntut menghormati dan tidak sekali-kali menderhaka kepada ibu. Sebagai insan masing-masing mempunyai cerita dan pengalaman mengenai ibu. Sempena Hari Ibu, RATU paparkan kisah perspektif mengenai ibu.




  • Pensyarah Fakulti Seni Bina dan Pembangunan Alam Sekitar, Universiti Kolej Twintech, Elis Syuhaila Mokhtar, 35, Pensyarah

    “PADA 5 Mac lalu, genap dua tahun saya tidak berjumpa Ferris Mokhtar Ven De Ven yang kini sudah pun berusia lapan tahun. Tetapi saya masih tidak berputus asa untuk mencari anak tunggal saya itu yang dipercayai dibawa lari oleh bekas suami, Firdaus @ Frank Theodorus Van De Ven, 40, keluar dari Malaysia dan dibawa ke Belgium. 
    Baru-baru ini, saya menyambut hari jadi saya dan ia membuatkan saya terus merindui Ferris terutama apabila mengingatkan yang dia suka menyanyikan lagu untuk saya Sean Kingston dan berkata nakal, Ummie seorang gadis terlalu cantik serta menyentuh dagu saya sambil bernyanyi, kemudian mencium saya lagi dan lagi. Saat itu memang cukup membahagiakan.

    Mengenangkan Ferris, membuatkan saya berasa amat sedih dan berasakan hampir setengah mati kerana terpaksa melalui hidup tanpa bersama seseorang yang paling penting dalam hidup saya. Tetapi saya masih mempunyai keyakinan dalam diri bahawa kasih sayang dan cinta murni antara ibu dan anak ada keajaiban tersendiri serta mengharapkannya cepat berlaku dan Ferris akan segera kembali kepada saya.

    Biarpun tidak berada di depan mata, sebagai seorang ibu saya sentiasa bimbang mengenai kesihatan fizikal dan mental Ferris, di samping berharap selalu dilindungi-Nya dan berada dalam kesejahteraan.

    Kenangan sambutan Hari Ibu yang masih terpahat hingga kini ialah semasa Ferris berusia empat tahun. Ketika itu, di sekolah Ferris ada meraikan sambutan Hari Ibu dan gurunya menyuruh semua kanak-kanak mengecap jari mereka pada batu marmar yang bertulis - I Love You Mama. Semua rakan Ferris berbuat demikian dan menulis perkataan itu tetapi Ferris hanya menulis I Love You dan apabila ditanya gurunya mengapa tidak menulis Mama dia memberitahu, dia memanggil saya Ummi. 

    Ini memang melucukan dan paling saya tidak lupa, balik saja dari sekolah dia terus menjerit-jerit memanggil nama saya untuk menunjuk hasil kerjanya itu. Sayangnya, batu marmar yang mempunyai kenangan cap jari Ferris itu tertinggal di rumah lama kami. Jika ada tentu saya akan menyimpannya baik-baik dan menjadikan pengubat rindu. 

    Ferris memang tidak pernah memberi saya hadiah pada Hari Ibu kerana dia masih kecil dan tidak faham mengenai sambutan hari itu. Tetapi Ferris pernah bertanya kepada saya apa itu Hari Ibu dan mengapa perlu menyambutnya. Saya cuma menerangkan kepadanya, Hari Ibu di sambut seluruh dunia dan khusus untuk ibu tercinta tetapi kata Ferris dia sentiasa sayangkan saya setiap masa. 

    Untuk menunjukkan kasih sayangnya kepada saya, Ferris ada kala teruja untuk memberikan saya hadiah terutama pada ulang tahun kelahiran saya. Pernah, satu ketika dia begitu beriya-iya membungkus kereta mainan miliknya dan memberikan saya sebagai hadiah. Gelagatnya memang sentiasa menghiburkan hati saya. 

    Mengenangkan ketiadaan Ferris membuatkan hati saya parah dan di pejabat apabila rakan bercerita mengenai anak masing-masing, sesekali memang hendak menyampuk serta ingin bercerita keletah anak tunggal saya itu. Tetapi saya hanya mampu imaginasi saja. Saya tidak mahu semua kenangan saya bersama Ferris dan wajah comelnya luput dalam ingatan tetapi mengingatkannya membuatkan saya sentiasa menitis air mata. Inilah antara dilema dan kerinduan sebagai ibu yang saya alami sehingga ke hari ini. 

    Saya belum meletakkan noktah dalam pencarian saya terhadap Ferris dan sebab itulah saya masih mahu merayu kerajaan Malaysia atau Wisma Putra tolong saya untuk mendapatkan anak kandung saya itu. Ketika Hari Ibu menjelang tiba ini, hati saya menjadi sayu. 




  • Penolong Pendaftar Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Zulfa Zainal Abidin, 41

    “SAYA kehilangan ibu sejak berusia dua tahun, kemudian dibesarkan oleh ibu saudara dan keempat-empat kakak tetapi ketika berusia enam tahun saya mendapat ‘ibu baru’ apabila bapa berkahwin lain. 

    “Sebelum bapa berkahwin, ada jiran yang bercerita dan mengingatkan ibu tiri garang dan suka pukul anak tiri. Kebetulan, waktu itu jiran saya juga mempunyai ibu tiri dan memang garang serta suka memukul anak tirinya. Tetapi seingat saya, ketika itu tiada perasaan takut sebaliknya, ada perasaan seronok kerana dapat ibu baru. Lalu, sering juga saya menyanyi lagu, ‘Bapaku kahwin lagi.

    Walaupun tidak begitu manja dengan ibu tiri, saya tetap mendapat kasih sayangnya. Sehingga sekarang hubungan dengan ibu tiri yang saya panggil ‘makcik’ memang baik, malah ketika kecil saya tidak dipukul seperti mana yang kita lihat dalam filem betapa garang dan kejamnya ibu tiri melayani anak tirinya.

    Bagaimanapun, memang ada perbezaan kasih sayang antara ibu tiri dengan ibu kandung dan tidak dinafikan, kadang-kadang terasa hati, tetapi apabila sudah dewasa dan sudah bergelar ibu kepada empat cahaya mata, faham kenapa adanya perbezaan macam itu.

    Seorang ibu kandung yang melahirkan anak, menyusu serta membesarkan anak itu dengan tangannya sendiri tentu dapat lebih rasakan betapa dekatnya ikatan ibu dan anak itu.

    Hubungan saya dengan ibu tiri tidak akrab seperti itu kerana mungkin juga dia hadir dalam hidup ketika saya sudah besar dan boleh berdikari. Saya mula dijaga ibu tiri ketika berusia enam tahun. Mungkin kalau saya dijaganya sejak bayi jalinan hubungan kasih sayang dan keakraban itu tentu lebih kuat lagi. 

    Apapun, saya tetap menghargai kasih sayang yang ibu tiri berikan dan rasa hormat serta ambil berat tetap ada sebab apa-apa pun dia berjasa juga pada kami semua terutama ketika Allahyarham ayah sakit sebulan lebih di hospital.

    Bagaimanapun, saya tetap menghargai jasa ibu tiri kerana menjaga ayah sepenuh masa sehingga sanggup tidur di bangku lipat. Sekiranya tidak ada ibu tiri mungkin kami adik beradik tidak mampu hendak jaga seumpama itu dan paling penting kehadirannya cukup membahagiakan ayah.

    Orang kampung macam kami tidak menyambutnya cuma sekarang ini baru perasan ada Hari Ibu. Anak saya pula masih kecil dan tidak faham pun mengenai sambutan itu. Bagi mereka, asal Ummi mereka ada di rumah sekurang-kurangnya petang dan malam, itu sudah cukup. Untuk ibu tiri, saya dan adik beradik lain juga tidak meraikannya kerana menganggap ia bukan budaya dalam keluarga sebaliknya, kami akan memberi hadiah atau makan tidak kira hari-hari tertentu. Jika ada kesempatan berkumpul dengan keluarga, ketika itu kami akan belikan apa-apa yang patut kemudian berikan dan tidak perlu hendak bungkus cantik.

    Sepatutnya, setiap hari adalah Hari Ibu dan sebagai insan yang melahir dan menjaga kita, ibu patut dihargai dan dihormati sepanjang masa dan bukan pada hanya hari tertentu saja. 




  • Pegawai Bank, Zariah Muhammad, 41

    SETIAP hari adalah untuk ibu kerana dialah kita hadir di dunia ini. Justeru, bagi sesiapa yang masih ada ibu, rugi rasanya jika tidak mengambil kesempatan untuk meluangkan masa bersama dengannya. Semasa hayat ibu masih adalah, kita perlu sentiasa dekatkan diri dengannya, jika esok lusa tiada pasti akan rasa kehilangan besar dalam hidup. 

    Namun, meraikan sambutan Hari Ibu mungkin sesuatu yang lebih istimewa kerana pada hari itulah saya akan menghadiahkan atau melakukan sesuatu yang lebih bermakna sebagai tanda kasih dan penghargaan kepadanya. 

    Lazimnya, saya akan membawanya melancong atau mengajaknya makan di restoran makanan laut digemari tetapi sejak empat tahun lalu, ibu sakit terlantar dan terdaya untuk bergerak jauh. Oleh itu saya lebih suka masak makanan kegemarannya dan makan bersama sekeluarga. 

    Sebagai ibu pula, dua orang anak saya juga tidak lupa menghadiahkan sesuatu bagi meraikan hari ibu. Hadiah yang mereka berikan biasanya ialah barangan saya sukai seperti coklat yang diubah dalam bentuk jambangan. 



  • 2 comments:

    1. sedih saya bila baca tentang kisah akak .. memang airmata saya takleh nak tahan bila baca blog akak ..

      ReplyDelete
    2. ble bce dlm bku mastika tu rse sdh sngt..mse tu bce dkt skolah..menagis sye..ble bce..ble ckgu tnye knpe sye x jwp pn

      ReplyDelete

    Please say something..